Usah
terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda
merasakan tiada apa-apa istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya
kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah
sama.
Ada
orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah
semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan.
Misterinya
suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna
cantik atau tampan pada seseorang. Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa
berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain. Maka
itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal
ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu
itu.
Begitu
juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada
para model yang popular. Sebab apa? Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama
antara manusia.
Ada
orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada
orang rambut yang mengurai sebagai cantik, ada orang menganggap rambut yang
ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak
itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam. Ada orang mentafsirkan kecantikan
itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau
Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik
tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.
Di
sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang
mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi
lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk
menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini.
Begitu
juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar.
Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini.
Maka
para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut.
Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa.
Begitulah
misteri dan luasnya makna cantik dan tampan. Jadi, usah terlalu susah hati jika
anda merasakan anda tidak begitu menarik. Anda tetap cantik di mata orang yang
mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan
anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta
sikap anda terhadap sesuatu perkara.
Jika
anda belum mendapat teman bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan
orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri
anda.
Sebenarnya
tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan
yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam islam
kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di
dalam hati. Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah
seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu.
Siapa
kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN. Sudah tentu kita tidak layak.
Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah
tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda
yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani.
Siapa
anda, anda sendiri yang menentukan. Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta
yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang
sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu. Itu
saja yang membezakan.
Comments
Post a Comment